Make Love Not War

Make Love Not War
Where Is D Love..

Wat Else Can I Say,..

Wat Else Can I Say,..
Yes! Have Faith..Believe In Urself..

Sunday, August 17, 2008

Enuff..Hear Wat Azli Shukri Says...


Wat can I say,..heheh.. read wat Azli Shukri says regarding d bruhaha liwat issue..(,")

I hope a lot of ppl will read his article as i wud say his comments are so far d best i've read wch suggests d best solution available.. read it below n make sure u include bro Azli Shukri's url/link to ur blogroll...heheh..wat can I say..(".) kudos to bro Azli Shukri...


August 18, 2008

Laluan Berliku
Saiful vs Anwar

Oleh Muhammad Azli Shukri


Saya sebenarnya tidak berhasrat menulis berkenan politik dalam blog saya ini, kerana ia lebih banyak mengundang fitnah daripada kebenaran. Namun demikian, apabila isu Mohd. Saiful Bukhari,bersumpah dan timbul pelbagai andaian dan tohmahan kepada beliau, saya terpaksa bercakap benar dan mempertahankan kebenaran. Jika tidak ilmu yang saya miliki ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.


Allah menurunkan firmannya berbunyi “Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa-Setelah engkau beroleh pengetahuan yang meyakinkan tentang hal itu, maka katakanlah kepada mereka : Marilah kita panggil (kumpulan) anak-anak kami dan anak-anak kalian, isteri-isteri kami, dan isteri-isteri kalian, diri-diri kami dan diri-diri kalian, kemudian kita bermubahalah kepada Allah, mohon agar Allah menjatuhkan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta.” (Ali Imran : 61)


Makna Mubahalah ialah, masing-masing pihak daripada orang-orang yang berbeza pendapat, dengan sungguh-sungguh berdoa bermohon kepada Allah agar menimpakan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta (yang berkeras kepada mempertahankan pendapatnya yang tidak benar).


Ramai yang nampaknya tidak faham mengapa mubahalah diperlukan dalam hal-hal tertentu. Perkara ini tidak terkecuali terkena kepada dalam kalangan ulama-ulama ternama kita di Malaysia, sehingga ada yang tergamak mendakwa bahawa sumpah yang dilakukan oleh Saiful baru-baru ini umpama orang Kristian yang memegang Bible. Subhanallah. Perbandingan yang jauh daripada kebenaran. Setakat ini, hanya Mufti Perlis, Dr. Asri sahaja yang menyokong agar kedua-dua pihak, yakni Anwar dan Saiful bersumpah berkenaan kes liwat mereka tersebut mengikut cara yang digariskan oleh Islam. Soalnya, mengapa terdapat dua pandangan yang berbeza berkenaan konsep sumpah mubahalah ini? Mengapa mesti sesama ulama bercanggah pendapat lagi, jika sudah jelas firman Allah dalam surah Ali Imran tersebut? Jika kita sama-sama mengikut al-Quran sudah tentu tidak akan ada perdebatan lagi dalam soal ini.


Hal ini terjadi adalah disebabkan sesetengah ulama di Malaysia tidak mendalami fiqh al-Waki, yakni fiqh yang memahami keadaan semasa dan diselaraskan dengan maqasid syariah (tujuan-tujuan syariat yang diturunkan oleh Allah). Dalam isu Saiful ini, Ulama telah melihat isu tersebut dalam dua perspektif-pertama, bagaimanakah perundangan Islam, yakni hukum Islam menyelesaikan isu liwat yang membabitkan kedua-dua pihak, apakah syarat-syarat dan metodologi yang digunakan bagi mengheret kedua-dua pihak ke muka pengadilan-mengikut garis panduan Islam, apakah ada wujud kes atau sebaliknya. Ini merupakan konteks yang dilihat oleh sebahagian besar Ulama di Malaysia, melalui kaca mata perundangan Islam. Ulama yang melihat isu Saiful-Anwar dari sudut ini termasuklah Mufti Perak, Mufti Wilayah, dan Nik Aziz Nik Mat.


Satu lagi kaedah melihat kes Saiful-Anwar daripada kaca mata Islam juga ialah melangkaui cara pertama tadi, yakni melihat isu ini lebih besar daripada cara pertama di atas, iaitu isu ini merupakan isu yang membabitkan maslahat umat Islam di negara ini. Isu yang melibatkan perpaduan umat Islam di Malaysia, isu yang membabitkan fitnahtul Kubra (fitnah besar ke atas umat Islam Malaysia), isu yang membabitkan tentang ketidakpercayaan masyarakat terhadap sistem yang ada di Malaysia, yakni ketidakpercayaan sebahagian besar rakyat terhadap badan kehakiman, polis, badan politik dan kepimpinan negara. Semua ini mengundang fitnah. Fitnah seperti mana yang kita sedia maklum, dosanya lebih besar daripada membunuh. Kaedah kedua ini telah dilihat oleh Mufti Perlis dan saya sendiri bersetuju melihat isu Saiful-Anwar ini dari kaca mata kedua ini, hal ini adalah kerana implikasi isu Saiful-Anwar ini kepada negara dan agama adalah amat besar.


Ini bukanlah isu berkenaan 4 orang saksi atau sebatan 80 kali, ini merupakan isu yang lebih besar daripada itu. Waki’ (realiti) yang dihadapi oleh rakyat dan negara sekarang ini ialah FITNAH. Fitnah yang sudah tidak mampu dibendung dengan sistem yang sedia ada. Kebenaran dan keadilan yang dicari oleh Anwar dan Saiful tidak akan dijumpai di mana-mana mahkamah di Malaysia ini, kerana sistem kehakiman itu sendiri sudah tidak dipercayai oleh kebanyakan orang. Apa-apa sahaja keputusannya, pasti akan ada tuduhan hakim telah di rasuah, konspirasi peringkat tertinggi dan sebagainya. Semua ini tidak akan menyelesaikan isu Anwar dan Saiful, malah keadilan dan kebenaran sama sekali tidak akan diperoleh kedua-dua pihak.


Hal ini adalah kerana, seluruh sistem utama di Malaysia (Polis, BPR, Kehakiman, Politik, Kepimpinan) sudah tidak dipercayai lagi, apakah yang tinggal untuk kita percaya lagi? di manakah tempat yang sama-sama kita percaya untuk mencari keadilan dan kebenaran? Akhirnya hati kita akan menjawab bahawa kita bertuhankan Allah. Hanya kepada Allah sahaja tempat yang kita sama-sama yakini untuk mengadu dan berharap, agar Dia menunjukkan kebenaran dan keadilan, setelah seluruh cara dan jalan penyelesaian lain gagal untuk menyelesaikan masalah Anwar-Saiful ini, maka mengapa terlalu berat untuk kita kembali kepada Allah? Apabila kedua-dua pihak Anwar dan Saiful gagal membuktikan masing-masing tidak bersalah, dan saling mendakwa tidak bersalah, mengapa tidak sahaja kembali kepada surah Ali Imran di atas? Biarkan Allah menghukum mana-mana pihak yang bersalah secara terus, kerana isu Anwar-Saiful ini sudah menjadi fitnah besar kepada agama, masyarakat dan negara! Ulama-ulama harus melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas. Yakni menutup pintu fitnah yang sedang melanda negara kita.


Soal membawa 4 saksi dan sebagainya, itu soal kedua. Soal pertama yang seharusnya diselesaikan dahulu ialah ; siapa yang bercakap dusta dan siapa pula yang bercakap benar. Selesaikan hal ini dahulu. Bukti yang ada sekarang tidak mencukupi untuk menghukum kedua-dua pihak yang mana bercakap benar dan yang mana berbohong. Lantaran itu, kita harus kembali kepada firman Allah di atas, “kemudian kita bermubahalah kepada Allah, mohon agar Allah menjatuhkan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta.” (Ali Imran : 61).


Saya tegaskan lagi di sini, kedua-dua pihak harus bersumpah kerana isu liwat ini sudah menjadi isu nasional dan mengharu birukan negara, fitnah memfitnah sudah bermaharajalela, caci maki menjadi kebiasaan, tuduh menuduh sudah sebati dengan masyarakat, buruk sangka sudah menjadi hidangan seharian kita. Semua ini merosakkan perpaduan umat Islam dan merosakkan kemuliaan agama Islam itu sendiri. Kebenaran dan keadilan sudah diperlecehkan oleh semua pihak.


Kalau kita dipihak yang benar, tiada sebab untuk takut. Soalnya sekarang yang perlu kita jawap ialah, apakah dengan kedua-dua pihak bersumpah mubahalah maka, ia akan mencemarkan nama kedua-dua pihak? Atau dengan bersumpah ini ia mampu membersihkan nama orang yang difitnah? Matlamat sumpah mubahalah adalah mencari kebenaran dan memohon kepada Allah ditunjukkan siapakah antara mereka yang berdusta dan berbohong! Itu sahaja. Jika Anwar percaya bahawa dia tidak berbohong, maka segeralah bersumpah. Selesai masalah, tidak perlu hubungi ulama luar negara untuk menentukan perlu atau tidak perlunya beliau bersumpah. Kembali sahaja kepada al-Quran di sana ada jawapannya. Jika beliau berani membuat demonstrasi, berani ditangkap oleh polis, berani melawan sesiapa sahaja, sama ada kerajaan Timur dan Barat, mengapa dalam isu sumpah ini beliau terlalu takut menyambut cabarannya dan melakukan sumpah mubahalah?


Saya sudah muak dan kecewa, apabila sudah ada cara penyelesaiannya di depan mata, kita masih tidak mahu menerima. Tanyakan kepada diri kita sendiri, jika kedua-dua pihak bersumpah mengikut cara Islam, isu pasti akan selesai tidak lama lagi. Cukuplah isu al-Arqam yang telah Allah tunjukkan kepada mereka dalam masa tiga bulan sebagaimana yang dipinta oleh pengikut-pengikut Ashaari Muhammad pada suatu ketika dahulu, yang akhirnya Ashaari Muhammad disumbat ke dalam penjara.


Walaupun hukum bersumpah ini mengikut pandangan ulama adalah makruh, namun demikian, hukumnya boleh berubah menjadi wajib apabila melibatkan fitnah yang besar ke atas masyarakat, agama dan negara. Anwar mempunyai nama besar baik di Malaysia, mahupun di peringkat antarabangsa. Jika beliau tidak bersumpah, maknanya beliau tidak mahu membersihkan nama yang sering didakwakannya sebagai fitnah. Ke mana lagi Anwar ingin mencari kebenaran dan keadilan? Mahkamah di Malaysia? Soalnya adakah Anwar percaya kepada Mahkamah di Malaysia? Adakah penyokong-penyokongnya yakin dengan badan kehakiman di Malaysia? Anwar pada pandangan saya wajib bersumpah! Dan hukumnya bukannya makruh lagi.


Kita juga harus faham, dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Muslim, nabi bersabda, maksudnya sebegini, doa orang yang dizalimi sama ada orang Islam atau bukan orang Islam, jika mereka berdoa, doanya tidak akan ada sekatan lagi untuk sampai kepada Allah bagi dimakbulkan-Nya. Lantaran itu, jika Anwar merasakan dirinya dizalimi, doa dan bersumpahlah agar orang yang menzaliminya menerima pembalasan di dunia lagi. Dan Allah tidak akan mensia-siakan doa orang yang dizalimi. Jadi, apa yang Anwar takutkan?


Persoalan yang mendakwa bahawa, sekalipun Saiful dan Anwar bersumpah mubahalah, tidak semestinya Allah menurunkan laknatnya-Nya di dunia lagi, merupakan jawapan orang yang tidak yakin dengan agamanya sendiri. Jika sumpah mubahalah bukan bertujuan untuk mendapatkan jawapan segera daripada Allah, maka tidak turunlah perintah Allah kepada Rasulullah untuk melakukan mubahalah dengan perutusan kaum Nasrani Najran untuk sama-sama kedua-dua pihak mengikrarkan permohonan kepada Allah agar menjatuhkan laknat-Nya kepada pihak yang berdusta. Cara tersebut ditempuhi untuk mengakhiri perdebatan antara kedua-dua belah pihak mengenai kedudukan Isa putera Maryam. Sudah tentulah pihak Rasullah yang benar dalam isu ini.


Lantaran itu, hanya orang yang benar-benar ikhlas dan yakin bahawa dia berada di pihak yang benar sahaja, yang sanggup melakukan sumpah mubahalah ini. Sekarang, kita hanya menunggu laknat Allah akan terjadi atau tidak ke atas diri Saiful, jika tidak, maka kita sendiri boleh menjawab, siapakah yang bercakap benar dan siapa pula yang berbohong. Saya di sini juga ingin mencadangkan agar Anwar yang mempunyai hubungan yang baik dengan ulama-ulama Timur Tengah, ambillah cuti dan bersumpahlah di tanah suci, jika beliau benar-benar yakin beliau tidak berbohong dalam isu ini. Saya percaya, ramai jutawan yang sanggup “menaja” penerbangan beliau ke tanah suci untuk niat yang suci mencari keadilan dan kebenaran di hadapan Kaabah dan bersumpah dengan nama Allah bahawa beliau benar-benar dizalimi. Susah sangat ke?


Kepada Ulama-ulama yang tidak bersetuju Anwar bersumpah, tolong tanyakan kepada diri sendiri, apakah dengan cara bersumpah ini maka masalah akan bertambah rumit atau masalah ini akan semakin hampir ke arah penyelesaiannya? Tanya juga, apakah yang kurang dan celanya, jika Anwar bersumpah? Apakah dengan Anwar bersumpah maka negara dan rakyat akan bertambah kecoh dan gundah gelana? Sebenarnya bersumpah adalah jalan terbaik untuk Anwar membersihkan dirinya daripada fitnah yang terlalu besar ini. Keyakinan rakyat akan pulih, suasana tegang akan kendur kembali, fitnah akan berhenti dan rakyat akan senang hati, jika benar Anwar difitnah selama ini. Tiada sebab mengapa ulama-ulama mencadangkan kepada Anwar agar beliau tidak bersumpah. Kecuali ulama-ulama tersebut mengetahui kisah yang sebenar dan dibimbangkan jika Anwar dimakan sumpahnya sendiri.


Apabila Presiden Pas Haji hadi Awang berkata berkenaan sumpah saiful tersebut seperti ini, "Itu satu kebodohan terhadap hukum Islam, malangnya melibatkan mereka yang memakai jenama agama. Itu (bersumpah) tidak menepati apa yang dikehendaki dalam hukum Islam. "Yang ada dalam Islam ialah li'an (iaitu sumpah melibatkan suami isteri)...sumpah dengan kitab suci ini ialah amalan Kristian yang bersumpah dengan Bible.


"Kita orang Islam mestilah li'an. Li'an ialah dalam tuduhan zina suami kepada isteri (tetapi) Anwar dan Saiful ini bukan suami isteri," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas isu sumpah laknat menggunakan al-Quran oleh Mohd. Saiful. Beliau berkata adalah tidak wajar masyarakat menghukum Anwar berdasarkan tindakan Mohd. Saiful yang “kebetulan” dibuat sehari sebelum proses penamaan calon Parlimen Permatang Pauh berlangsung. Menurut beliau, perkembangan terbaru itu tetap tidak akan menjejaskan sokongan dan kepercayaan Pas kepada Anwar, sebaliknya parti itu akan terus membantu Anwar untuk menghadapi pilihan raya kecil itu.


Haji Hadi seolah-olah tidak faham waki’ dan matlamat sesuatu syariat itu diturunkan, Dalam kenyataan ini juga seolah-olah Haji Hadi menafikan bahawa di dalam al-Quran terdapat ayat yang menerangkan nabi pernah bermubahalah dengan Nasrani Najran, jadi mengapa sumpah hanya dibataskan kepada Li’an semata-mata? Jelas beliau lebih mementingkan politik daripada mencari siapakah yang bercakap benar dan siapa pula yang berbohong! Haji Hadi perlu kembali melihat isu ini dengan jujur dan menyeluruh.


Kebenaran sebenarnya sudah semakin hampir di depan mata, tetapi malang, ulama sesama ulama masih bertelagah untuk mencari jalan pulang yang terlalu jauh. Banyak lagi yang ingin saya tulis, tetapi masa membatasi saya, namun demikian kebenaran tidak mungkin saya selindung lagi. wallahualam. Mohon ampun kepada Allah jika ada salah dan silap daripada hamba-Mu ini. Tiada niat lain, melainkan untuk mempertahankan kebenaran yang sudah pasti!

No comments: